Pelumba berbasikal trek negara, Farina Shawati Mohd Adnan, menganggap 'loceng amaran' yang dibunyikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), sebagai pecutan akhir untuk dia memperbaiki prestasi, sekali gus terus kekal dalam Program Podium.

Mengakui terkesan apabila 'diturunkan pangkat' yang mengakibatkan dia tidak lagi mempunyai jurulatih khusus bagi memantau prestasi, pelumba berusia 23 tahun itu mengambil sikap positif dan bersedia mempamerkan prestasi terbaik dalam Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia di Nilai, bermula Khamis ini.

Selain tidak lagi mengikuti latihan bersama skuad berbasikal trek negara di bawah kendalian ketua jurulatih, John Beasley, di Melbourne, Australia sejak Januari lalu, Farina Shawati dan tiga lagi pelumba trek negara dikenakan pemotongan elaun latihan susulan gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

"Latihan berjalan seperti biasa dan saya berlatih di Malaysia sahaja. Saya akui agak sukar kerana tidak mempunyai jurulatih khusus yang memantau perkembangan kami walaupun program telah disediakan tapi kena uruskan sendiri.

"(Amaran) itu memberi kesedaran kepada saya. Saya ambil sebagai positif apabila diturunkan elaun. Kalau tidak jadi macam itu, kita tidak akan sedar. Saya teruskan berlatih dan baiki kesilapan yang pernah dilakukan," katanya ketika ditemui selepas sidang media Yayasan Sime Darby (YSD), hari ini.

Farina Shawati antara empat pelumba berbasikal trek di bawah Program Podium yang diberi tempoh hingga Oktober depan untuk membuktikan mengapa mereka tidak boleh disingkirkan daripada program tersebut dan ditarik balik semua elaun bulanan yang dinikmati sebelum ini.

Selain pelumba itu, turut mengalami nasib sama berikutan kemerosotan prestasi adalah Fatehah Mustapa, Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Muhammad Khairil Nizam Rasol.

Bagaimanapun, Farina Shawati meraih emas dalam acara pecut berpasukan berbanding tiga pelumba lain yang gagal menyerlah dalam Piala Trek Asia di Taiwan.

Dalam pada itu, berkenaan aksinya dalam Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara kali ini, Farina Shawati berkata dia akan menggunakan platform itu sebaik mungkin untuk mencapai KPI yang ditetapkan MSN dan persatuan.

"Saya akan cuba untuk mencapai KPI yang ditetapkan, perbaiki masa, perbaiki prestasi dan berada dalam tiga terbaik dalam setiap acara -- pecut dan keirin," katanya.

Dia akan menyertai satu lagi kejohanan antarabangsa, iaitu Kejohanan Trek Asia (ACC) di Korea Selatan, Oktober depan.

-- BERNAMA