Peluang berlatih di Australia selama 10 hari memberi kesempatan terbaik buat skuad gimnastik negara untuk menguji apparatus baru yang akan digunakan dalam Sukan SEA, Ogos nanti.

Skuad negara yang diketuai Farah Ann Abdul Hadi berlepas ke Australia kelmarin dalam misi memperbaiki prestasi mereka susulan persembahan sederhana dalam Kejohanan Asia di Bangkok, bulan lalu.

Tiada lagi pertandingan akan disertai mereka sebelum Sukan SEA dan kunjungan ke Australia ini pastinya amat dinantikan.

"Di sana kami anggap ia tempat baru, suasana baru untuk memperbaiki kemahiran dengan menggunakan apparatus baru. Ia akan kami guna untuk Sukan SEA. Itu objektif kami," katanya.

Sukan SEA Singapura 2015 menyaksikan Farah meraih emas individu bagi disiplin senaman lantai di samping mengungguli acara berpasukan.

Lebih manis kejayaan berpasukan itu menamatkan kemarau 14 tahun negara untuk kembali merampas pingat emas sementara Tan Ing Yueh menyumbangkan emas menerusi disiplin palang bertingkat.

Menganggap skuad kali ini lebih serasi berbanding dua tahun lalu, Farah kekal dengan semangat tinggi kejayaan mampu dilakar Malaysia.

"Saya perlu berlatih dengan lebih keras dalam persiapan untuk Sukan SEA. Di sana, kami dapat lihat aksi atlet Filipina, Thailand kerana mereka sangat kuat sekarang dan kami perlu mengambil kiranya untuk mempersiapkan diri dengan lebih baik."

Pencapaian dalam Sukan SEA Singapura 2015.

Penyumbang pingat emas:

• Berpasukan wanita
• Farah Ann Abdul Hadi (Senaman lantai)
• Tan Ing Yueh (Palang tidak sejajar)

Penyumbang pingat perak:

• Tan Ing Yueh (Melombol)
• Jeremiah Loo (Palang tunggal)
• Farah Ann Abdul Hadi (Individu all-around)

Penyumbang pingat gangsa:

• Farah Ann Abdul Hadi (Melombol, palang tidak sejajar & batang titian)

Jumlah: 3 Emas, 3 Perak & 3 Gangsa