Tiga nama membabitkan Farah Ann Abdul Hadi, Tan Ing Yueh dan Tracie Ang sudah pun melepasi kriteria untuk barisan awal yang mengisi skuad gimnastik negara ke Sukan Komanwel di Gold Coast Australia, April depan.

Berdasarkan prestasi semasa dan bebas daripada kecederaan, tiga nama berkenaan mengisi senarai awal ke temasya sukan itu walaupun sesi pemilihan akhir skuad bakal berlangsung pada Februari depan.

Jika dilihat daripada segi pengalaman dan pencapaian, ketiga-tiga gimnas itu merupakan tunjang utama pasukan negara dalam kejohanan penting.

"Kami ada 10 orang dalam senarai panjang tetapi tiga atlet disahkan, iaitu Farah, Tracie dan Ing Yueh.

"Masih ada satu slot lagi yang kami akan dapatkan daripada senarai itu," kata jurulatih gimnastik negara, Ng Shu Wai.

Dalam pada itu, Ing Yueh berharap barisan atlet ke Sukan Komanwel kekal cergas dan bebas daripada sebarang kecederaan.

Dengan baki lima bulan, Ing Yueh mahu penampilan mereka di Gold Coast bukan sekadar mengisi slot penyertaan, sebaliknya meletakkan Malaysia dalam saingan pingat.

"Saya harap semua bebas daripada kecederaan. Kemahiran semuanya sudah ada, cuma kalau cedera ia membuatkan kami tidak boleh beraksi baik," katanya.

Ketiga-tiga gimnas itu bakal beraksi dalam Sukan Komanwel buat kali ketiga selepas membuat penampilan di New Delhi 2010 dan Glasgow 2014.


Farah Ann Abdul Hadi
Penampilan Sukan Komanwel : 2
Pencapaian Terbaik :
• 4 emas, 2 perak dan 3 gangsa Sukan SEA

Tan Ing Yueh
Penampilan Sukan Komanwel : 2
Pencapaian Terbaik :
• 4 emas dan 2 perak Sukan SEA

Tracie Ang
Penampilan Sukan Komanwel : 2
Pencapaian Terbaik :
• 1 emas, 1 perak dan 1 gangsa Sukan SEA