Bekas atlet terjun negara, Farah Begum Abdullah, terbuka untuk membantu persatuan sekiranya Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) bersetuju mewujudkan lima persatuan di bawah
naungannya.


Farah bersetuju dengan cadangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk ASUM mewujudkan lima persatuan kebangsaan melibatkan terjun, renang, polo air, renang terbuka dan renang seirama.

Dia, yang pernah melakar sejarah menjadi atlet pertama mengakhiri penantian 22 tahun negara untuk meraih pingat emas sukan terjun dalam Sukan SEA Brunei 1999, turut tidak menolak untuk menjadi sebahagian daripada persatuan itu jika khidmatnya diperlukan.

Selain itu, bekas-bekas atlet lain seperti Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee juga dilihat memiliki kriteria terbaik untuk menyumbang ilmu kepada persatuan.

"Saya bersikap terbuka dan Malaysia memiliki bekas penerjun negara yang berpengalaman untuk berada di dalam persatuan ini," kata Farah.

Saat negara kehilangan ketua jurulatih, Yang Zhuliang, Farah hanya mampu mengharapkan arena terjun Malaysia terus berada pada tahap terbaik, tidak kira siapa yang bakal mengambil alih tugas itu.

"Sebagai atlet elit, tekanan sentiasa menjadi cabaran ketika beraksi di peringkat tertinggi tetapi kehadiran pihak Institut Sukan Negara (ISN) mampu membantu mereka menangani isu ini," tambahnya.