Ketua skuad jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong, mengharapkan usaha dan sokongan berterusan daripada semua pihak untuk menjulang pasukan futsal kebangsaan di mata dunia.

Skuad negara kini di landasan tepat apabila meraih ranking terbaik dengan menduduki tangga ke-59 dunia.

Chun Yong sedang mempersiapkan barisan 18 pemainnya untuk mengharungi Kejohanan Futsal AFF 2017 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, dari 26 Oktober hingga 3 November ini.

Mereka baru pulang daripada mengadakan perlawanan ujian di Qatar dengan catatan satu menang dan satu seri.

"Kami tidak pernah menang dengan Qatar sejak 2014 apabila tewas tiga kali. Saya lihat banyak peningkatan dan pemain mengikut strategi yang diterapkan," katanya.

Sehubungan itu, Chun Yong menuntut usaha berterusan daripada semua pihak sekiranya ingin melihat futsal terus merintis kecemerlangan.

"Kami harus meneruskan latihan untuk terus meningkatkan prestasi.

"Ketika ini, kami mempunyai momentum yang bagus, sudah tentu kami bukan sahaja ingin mengekalkan prestasi, malah kami mahu memberikan persembahan yang lebih baik.

"Peningkatan ranking sesuatu yang positif buat futsal negara. Bagaimanapun, sebagai jurulatih, saya mahu melihat peningkatan daripada aspek persembahan untuk memenuhi jangkaan tertentu dan bagaimana untuk mengekalkannya.

"Jika kami mampu mencapai jangkaan ini, maka secara tidak langsung ranking negara akan terus meningkat.

"Kami memerlukan lebih banyak perlawanan persahabatan untuk mendaki ranking yang lebih baik," katanya yang membantu negara meraih pingat perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Kini genap setahun Chun Yong dilantik menggantikan tempat jurulatih dari Sepanyol, Marcelo Serpa, dan menurutnya: "Sejak saya mengambil alih, saya bukan setakat menerapkan corak permainan. Saya mengetengahkan banyak polisi dan pendekatan baru yang patut ada dalam pasukan kebangsaan.

"Bukan mudah untuk pemain menerima budaya baru ini. Saya melihat banyak perkara yang perlu diubah, begitu juga mentaliti pemain sebelum mengutamakan corak permainan.

"Saya juga cuba mengetengahkan sistem baru menerusi pelan taktikal yang sesuai dengan tahap permainan antarabangsa.

"Banyak yang perlu dilakukan serentak dalam masa yang sama. Mujur ada pembantu saya selain sokongan pihak pengurusan."

Di sebalik keputusan positif yang diraih, Chun Yong mahu lebih realistik mengenai peluang negara dalam kempen Piala Dunia.

"Untuk memenangi Piala Dunia, perjalanan itu masih lagi jauh.

"Tetapi, kita boleh layak dengan syarat kem latihan dan pendedahan di peringkat antarabangsa yang berterusan.

"Selain itu, kita juga perlu mewujudkan kejohanan tempatan yang sengit. Ini langkah paling penting dan harus bergerak bersama-sama untuk membantu pasukan kebangsaan."