Atlet sering dihantui masalah tekanan akibat sasaran yang diletakkan terlalu tinggi setiap kali menyertai mana-mana kejohanan sehingga mendatangkan kesan kepada prestasi.

Tidak kurang juga wujud kes yang membawa kepada masalah seperti berputus asa, bersara lebih awal atau bunuh diri akibat mengalami tekanan yang tinggi ekoran gagal memenuhi setiap tuntutan.

Bagi pensyarah psikologi sukan dan eksesais Universiti Malaya, Yuhanis Adnan, dia tidak menolak wujud beberapa atlet yang berdepan masalah sebegitu sehingga akhirnya kemampuan yang dimiliki tidak dapat diterjemah ketika beraksi.

"Terdapat beberapa kes di mana melibatkan atlet yang tertekan akibat sasaran yang terlalu tinggi. Kadangkala ia hadir daripada ibu bapa sendiri kerana penglibatan mereka dalam soal atlet.

"Keadaan itu juga boleh memberi kesan sehingga atlet gagal mempamerkan aksi terbaik ketika beraksi dalam mana-mana kejohanan," katanya dalam temu bual Nadi@1, hari ini.

Selain itu, kata Yuhanis, masalah melibatkan tekanan juga dapat diatasi menerusi sokongan serta pengaruh yang dipunyai oleh barisan jurulatih.

"Jika meletakkan matlamat terhadap kemenangan, atlet tidak akan dapat mengawalnya. Jadi, jurulatih atau pengurusan perlu mengawasi perkara itu. Atlet juga perlu mengenal pasti kelebihan dan kelemahan masing-masing.

"Perlu diingat bahawa tiada apa yang sempurna. Hanya perlu fokus untuk mempamerkan yang terbaik dan keputusan akan hadir. Usah terlalu fikirkan kemenangan," jelasnya.