Jurulatih lontar peluru Paralimpik, Faizul Haron, tidak mahu Ziyad Zolkefli terus terleka dengan kejayaan di Rio memandangkan anak jati Selangor itu memiliki satu lagi misi penting untuk layak ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Tegas Faizul, kemasyhuran dan pendedahan media massa berikutan kejayaan anak buahnya itu perlu diletakkan ke tepi buat seketika selepas insentif yang dijanjikan sudahpun ditunaikan dalam majlis khas pada Sabtu.

Kini, tumpuan mereka lebih getir, dan Ziyad perlu terus konsisten jika dia benar-benar mahu bersaing dengan atlet normal dalam saingan Sukan SEA tahun depan.

Catatan rekod dunia Paralimpik milik Ziyad, iaitu 16.84 meter, hampir kepada catatan kelayakan 17 meter yang perlu diatasi Ziyad untuk melayakkan dirinya.

“Saya berharap Ziyad akan terus menjalani latihan kerana sasarannya adalah untuk beraksi dalam Sukan SEA.

"Jika dia terus menjalani latihan, saya percaya dia mampu melakukannya,” kata Faizul.

Bagaimanapun ada kegusaran di hati Faizul memandangkan Ziyad bakal membahagikan tumpuannya selepas mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan penghujung tahun ini.

Bukan menafikan kebahagiaan anak buahnya sendiri, Faizul mengharapkan Ziyad bijak membahagikan masa untuk bersama keluarga dan menjalani latihan.