Pesilat negara, Faizul Nasir, mengakui terpaksa menangguhkan hasratnya untuk bersara daripada peringkat antarabangsa selepas terpilih ke dalam Program Podium 2018 yang diumumkan, Jumaat lalu.

Faizul adalah antara empat atlet baru daripada sukan silat yang terpilih ke dalam Program Podium.

Penyenaraiannya menjadikan lapan pesilat yang terpilih ke dalam program itu.

Ini susulan Faizul yang menyuarakan hasrat untuk bersara sejurus mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA, Ogos lalu.

"Saya fikir ini merupakan peluang saya untuk beraksi dalam Sukan Asia dalam usaha untuk meraih kejayaan di rantau Asia," kata Faizul.

"Selepas berbincang dengan pasukan, saya mengubah keputusan untuk bersara," ujarnya.

Faizul turut menjelaskan pemilihannya dalam Program Podium secara tidak langsung akan membantu meningkatkan prestasinya bagi menghadapi temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang, Indonesia, Ogos depan.

"Berada dalam program ini, saya tidak boleh terlalu selesa dan ia memberikan persiapan yang baik untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik pada masa akan datang."