Pesilat negara, Faizul Nasir, mengakui sudah beransur pulih daripada kecederaan leher yang dialaminya ketika Sukan SEA Filipina 2019 hingga menyebabkannya digugurkan ke Kejohanan Silat Asia di China bulan ini.

Faizul tidak sedarkan diri ketika tewas kepada peserta tuan rumah, Dines Dumaan, dalam pusingan awal Kelas Putra B (50- 55kg) dalam saingan Sukan SEA.

Pemenang pingat emas edisi 2015 dan 2017 itu dilihat terbaring lebih tiga minit tanpa mendapat bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata sebelum mengumumkan kemenangan 5-0 untuk Dumaan.

Kini Faizul telah mula menampilkan perkembangan positif selepas menjalani proses pemulihan di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Bertekad untuk kembali beraksi, Faizul tidak sabar untuk menghadapi kejohanan seterusnya.

"Buat masa ini, apa yang telah berlaku sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Segalanya diletakkan kepada pihak pengurusan dan MSN untuk menentukan pencapaian saya kali ini.

"Ternyata, ia bukan rezeki saya apabila gagal meraih pingat emas di Manila. Saya akan cuba melihat ke hadapan, segera pulih sepenuhnya dan jika diberikan peluang dan kepercayaan untuk sekali lagi mewakili negara, saya sedia melakukannya," katanya lagi.