Faiz Putra mahu merdeka daripada leukemia

Oleh Muzaffar Musa 31 Ogos 2020 408
Faiz Putra mahu merdeka daripada leukemia
Biarpun sudah beransur pulih, bekas pemain bola tampar pantai negara, Faiz Putra Abdul Razak, masih berusaha untuk "memerdekakan" dirinya daripada penyakit leukemia.

Tragedi yang menimpanya pada April lalu ternyata memberikan kesan yang besar terhadap bekas atlet berusia 30 tahun itu.

Bukan sahaja disahkan menghidap leukemia, doktor juga mendapati terdapat tompokan darah di bahagian otaknya, yang memerlukannya untuk menjalani pembedahan berisiko tinggi. 

Tidak cukup dengan itu, Faiz Putra, yang merupakan jurulatih skuad B-19 negara, diuji pula dengan serangan angin ahmar sehingga lumpuh separuh badan, 

Dugaan demi dugaan menimpanya, namun Faiz Putra cekal untuk  bangkit dengan harapan mampu membebaskan dirinya daripada penyakit kronik itu.

"Pada mulanya, apabila saya dapat tahu (tentang penyakit itu), menang saya rasa semua benda sudah hilang. Saya tidak boleh fokus kepada kerja saya dan bola tampar. Daripada segi menjadi jurulatih, saya masih boleh fokus tetapi samar-samar dan bergantung kepada bila saya akan sembuh daripada penyakit kanser ini," katanya dalam satu temubual bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Tangan kanan saya baru pulih daripada lumpuh dan saya masih tidak dapat menggerakkan jari saya dengan betul.

"Tangan kanan saya masih kuat tetapi tidak boleh mengangkat benda berat kerana ada port kemoterapi.

"Sewaktu mengetahui ada pendarahan di otak, mental saya memang merudum.

"Saya tidak dapat berfikir dengan betul kerana terlampau risau.

"Masa depan saya menjadi kabur tetapi isteri terus memberikan saya semangat.

"Saya merupakan atlet bola tampar, jadi jiwa untuk melawan (penyakit) itu memang kuat.

"Tidak kira apa yang berlaku, saya akan tetap berjuang," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen