Kapten kriket negara, Ahmad Faiz Mohamad Noor, kecewa gagal menghadiahkan kemenangan kepada peminat yang membantah tindakan pemaju mengambil alih Kinrara Oval apabila tewas dengan 41 larian kepada Singapura dalam aksi keempat kelayakan Piala Dunia T20 zon B Asia.

Malaysia turun di padang kriket Bayuemas, Klang dengan misi menggembirakan peminat, namun Singapura selaku pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bukan calang-calang pasukan apabila mencatat 145 larian pada inning pertama.

Faiz dan rakan-rakan cuba memberi tentangan, namun harus berpuas hati dengan 104 larian, sekali gus tewas dengan 41 larian.

Ini kekalahan kedua Malaysia selepas tumbang di tangan pilihan utama, Nepal, semalam.

"Saya bersyukur apabila melihat ramai peminat sukan kriket negara yang memberikan sokongan tetapi saya agak kecewa kerana gagal meraih kemenangan untuk Malaysia," kata Faiz.

Hampir 200 peminat dan penduduk sekitar Puchong mengadakan perhimpunan aman bagi menyatakan sokongan mereka untuk Kinrara Oval terus kekal di atas tapak seluas lima ekar.