Atlet olahraga Para Sukma Perak, Muhammad Faiz Haizat Rosli, yang meraih tiga pingat emas dalam temasya itu muncul penerima imbuhan terbanyak di bawah Skim Insentif Sukan Perak sebanyak RM15,000.

Dalam temasya dwi-tahunan edisi ke-19 itu di Ipoh, bulan lalu , Muhammad Faiz, 21, meraih emas acara 1,500m, 400m dan 800m T38.

Sementara itu, atlet memanah para Perak, Nor Sa'adah Abdul Wahab dan K. Moragen, serta
pemain ping pong, Hong Chin Sing, masing-masing menerima imbuhan RM13,500.

Nor Sa'adah, 41, dan Moragen, 46, meraih emas acara compound perseorangan dan berpasukan serta pingat perak acara berpasangan campuran.

Chin Sing, 50, muncul juara acara ping pong perseorangan terbuka dan berpasukan selain meraih pingat perak acara beregu dan berpasukan kelas 9-10.

Mereka merupakan antara 329 atlet yang menerima insentif susulan kejayaan meraih pingat dalam Sukan Malaysia (Sukma), Para Sukma dan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) yang berlangsung di Perak, baru-baru ini.

Selain atlet, pengurus dan jurulatih turut menerima insentif khas yang disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di sebuah hotel terkemuka di Ipoh, semalam.

Selain itu, insentif juga diberikan kepada skuad The Bos Gaurus yang muncul juara Piala Malaysia, musim ini, selain kejayaan pasukan hoki Perak menjuarai Piala Razak 2018.

Kerajaan Perak memperuntukkan RM1.5 juta sebagai insentif kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri itu dalam pelbagai pertandingan di peringkat nasional.