Faithal: KBS perlu hidupkan semula makmal ujian doping di Malaysia

Oleh Ammar Hakim 3 Oktober 2016 19
Faithal: KBS perlu hidupkan semula makmal ujian doping di Malaysia

Pemerhati sukan negara, Dr Mohamad Faithal Hassan mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghidupkan semula makmal ujian doping di Malaysia selepas atlet Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dikesan menggunakan bahan terlarang.

Kewujudan kes doping Sukma dan SUKIPT membuktikan penularan kes di peringkat akar umbi.

Apa yang membimbangkan, ia membabitkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi yang berpotensi menggalas tugas negara pada masa depan.

Jadi, Faithal berpendapat sudah tiba masa untuk KBS menghidupkan semula makmal ujian doping di Malaysia walaupun kosnya bakal mencecah jutaan ringgit.

“Ada keperluan yang agak tinggi, di mana kita menghidupkan semula makmal ujian doping ini dibuka semula, walaupun kosnya memakan wang yang banyak, namun ia adalah untuk kebaikan atlet serta sukan negara Malaysia,” jelas Faithal.

Malaysia pernah memiliki pusat kawalan doping di Universiti Sains Malaysia (USM), namun akreditasi makmal itu dibatalkan pada 2010 kerana tidak mengikut piawaian antarabangsa.

KBS pernah memohon kepada Agensi Anti Doping Dunia (WADA) untuk menghidupkan semula makmal itu namun usaha mereka terbantut ekoran kos mahal.

Sementara itu, Faithal berharap kes positif dua atlet SUKIPT tidak menjejaskan pengajian mereka kerana ia hanya membabitkan bahan terlarang dalam sukan, bukannya dadah rekreasi.

“Ia tidak wajar buat atlet ini diberikan tindakan oleh Institut Pengajian Tinggi (IPT), kerana tiada masalah sosial yang terlibat dengan pengambilan bahan terlarang ini.”

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen