Sekalipun sudah memenangi pingat emas keirin dalam Kejohanan Piala Negara-Negara UCI, Fadhil Zonis tetap menganggap masih jauh untuk diangkat sebaris tonggak negara seperti Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom.

Pelumba berbasikal trek berusia 24 tahun itu unggul di Hong Kong, Ahad lalu, untuk sebaris dengan Azizulhasni Awang dan Rizal Tisin sebagai pelumba negara yang pernah meraih kejayaan sama sebelum ini.

Bagaimanapun, jaguh dalam pembikinan itu enggan mendabik dada sambil menganggap perjalanan yang perlu ditempuhinya masih jauh sekiranya ingin sebaris dengan dua pelumba berkenaan dalam perkongsiannya bersama wartawan Astro Arena, Yeoh Pek Xian, hari ini.

"Tahap saya dengan mereka masih jauh.

"Mereka memang kuat, malah dalam latihan agak jauh untuk kejar catatan masa mereka.

"Jadi setiap hari saya perlu gigih untuk hambat tahap mereka tapi saya tidak tertekan.

"Saya tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada ketika ini.

"Saya yakin kalau terus berusaha, saya boleh pergi jauh," katanya.






Pengorbanan besar meninggalkan keluarga dan terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan dilabel sebagai amat berbaloi sambil menujukan kemenangannya itu kepada ibunya, lebih-lebih lagi dengan kejayaan menewaskan juara Piala Dunia edisi 2019-20 dari Thailand, Jai Angsuthasawit, yang sekadar mengakhir perlumbaan di tempat keempat.

Begitupun, keadaan dunia yang tidak menentu akibat ancaman COVID-19 ketika ini tidak menjejaskan perancangannya bagi baki saingan tahun ini.

"Saya berjaya mendapatkan mata untuk layak ke Kejohanan Dunia pada September depan.

"Saya harap ia tidak ditunda atau dibatalkan sebab tidak rela hanya berlumba sekali setahun," katanya.

Fadhil juga sempat dikaitkan dengan gelaran datuk atas kejayaan manis hujung minggu lalu itu tetapi secara berseloroh, dia mengutamakan keluarganya.

"Saya ada terdengar khabar angin itu tapi tidak dapat mengesahkannya.

"Tapi saya lebih pentingkan inisiatif kerana ada keluarga untuk disara."