Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Zonis, mendedikasikan pingat emas yang diraihnya dalam Kejohanan Berbasikal Trek Piala Negara-Negara di Hong Kong semalam buat ibunya di Malaysia.

Jelasnya, pengorbanannya untuk tidak meraikan sambutan Aidilfitri bersama keluarga di Malaysia telah berbayar dengan kejayaan itu.

Pelumba berusia 24 tahun itu muncul terpantas dalam final acara keirin dengan catatan masa sepusingan 10.298 saat bagi meninggalkan dua pelumba Jepun, Yuta Wakimoto dan Yudai Nitta, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Lebih menarik, Fadhil turut menewaskan juara Piala Dunia edisi 2019-20 dan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Jai Angsuthasawit, di mana jaguh Thailand itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Sebagai rekod, hanya Azizulhasni Awang dan Rizal Tisin merupakan pelumba negara yang pernah meraih kejayaan sama sebelum ini.

"Yang pertama saya ingin bersyukur kepada Allah SWT, Alhamdullilah, hari ini saya mendapatkan pingat emas pertama saya dalam Piala Negara-Negara atau Piala Dunia," katanya kepada Astro Arena.

"Perasaan saya amat-amat gembira, saya tidak sangka saya boleh menang kerana saya berlumba dengan pelumba-pelumba hebat yang pernah mendapat pingat dalam Piala Dunia dan Kejohanan Dunia.

"Penat lelah selama lebih setahun ini berhasil dan saya amat-amat teruja.

"Saya mendedikasikan kemenangan ini buat ibu saya, keluarga dan pasukan saya kerana kami telah berkorban dengan tidak dapat beraya bersama keluarga di Malaysia.

"Kami beraya di sini, jadi saya mahu menghadiahkan kemenangan ini buat mereka kerana telah berkorban untuk saya juga," katanya.