Penembak kebangsaan, Ezuan Nasir Khan, akan memberi fokus 100 peratus hanya kepada latihan acara 10 meter air rifle individu lelaki bagi melayakkan diri ke Sukan SEA Filipina 2019.

Ezuan baru sahaja dimaklumkan bahawa cuma acara 10m air rifle akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina 2019 berbanding edisi lalu di Kuala Lumpur yang menyaksikan dia bertanding dalam dua acara, iaitu 10m air rifle dan 50m rifle prone.

Justeru, dia akan mengambil peluang itu dengan memberi komitmen penuh dalam sesi latihan bagi acara tersebut untuk menempah slot ke Sukan SEA edisi ke-30 selain mempertahankan pingat emas yang diraih sebelum ini.

Ezuan juga berharap Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) dapat memberi peluang kepadanya menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa sebagai persiapan menghadapi sukan bertemasya akan datang.

Ezuan bakal menyertai Kejohanan Menembak Dunia di India, Februari depan dan menyasarkan kedudukan lima terbaik.

"Sebelum ini, dalam Sukan SEA, saya ada dua acara, iaitu 10m air rifle dan 50m rifle prone. Tahun depan cuma ada satu acara, jadi saya akan lebihkan fokus untuk acara tersebut," kata Ezuan.