Pembatalan Kejohanan Menembak Piala Presiden Ally Ong tidak memutuskan harapan wakil negara, Ezuan Nasir Khan, dalam merebut peluang untuk kembali membarisi skuad kebangsaan ke saingan antarabangsa.

Atlet berusia 28 tahun itu menutup saingan Piala Presiden Ally Ong dengan meraih pingat perak acara 10 meter air rifle lelaki sebelum kejohanan yang berbaki dua hari lagi itu terpaksa dihentikan ekoran penularan wabak Covid-19.

Kesannya, Ezuan tidak dapat beraksi dalam satu lagi acara, 10m air rifle campuran, bersama pasangan, Nur Suryani Mohd Taibi.

Dia mengakui keputusan Persatuan Menembak Malaysia (NSAM) membatalkan kejohanan itu agak merencatkan momentum untuk memburu slot membarisi skuad kebangsaan, namun tidak meletakkannya sebagai tekanan sebaliknya menyahut cabaran.

"Saya tidak jadikan ia satu tekanan tetapi ia adalah sasaran untuk kembali dalam program. Macam tahun lalu, banyak kejohanan tetapi apabila aksi tempatan menyambung aksi, prestasi dapat diraih," katanya.

Dalam masa sama, dia turut membuat permohonan maaf secara terbuka selepas berlaku kekeliruan statusnya dalam skuad menembak negara, baru-baru ini.

"Itu cuma luahan hati saya, tiada kena-mengena dengan mana-mana pihak. Saya cuma nyatakan apa yang saya rasa tetapi saya mohon maaf jika terasa dihentam. Namun, itu bukan niat saya."