Atlet menembak negara, Ezuan Nasir Khan, mahu memastikan rentak konsisten sepanjang tahun ini dapat diteruskan supaya dapat tampil dengan persembahan lebih cemerlang dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, dari 4 hingga 15 April 2018.

Selepas mengharungi dugaan pada awal tahun ini kerana digugurkan daripada Program Podium, ia tidak menggugat prestasi atlet berusia 28 tahun itu.

Sebaliknya, dia menjadikan perkara itu sebagai cabaran buat dirinya untuk membuktikan kemampuan dan ia membuahkan hasil dengan kejayaan meraih emas acara rifle 50m prone individu dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Lebih membanggakan, dia juga memperbaharui rekod kejohanan dengan catatan 242.8 mata.

Ezuan selepas ini akan menyertai Kejohanan Air Gun Asia di Jepun, bulan depan, dan ia bakal menjadi permulaan untuknya mempersiapkan diri bagi menghadapi Sukan Komanwel 2018.

"Kejohanan itu saya jadikan sebagai salah satu persiapan untuk ke Sukan Komanwel.

"Di situ saya menimba pengalaman untuk dibawa ke Sukan Komanwel," katanya.

Statusnya selaku pemenang emas Sukan SEA meletakkan Ezuan dalam senarai awal untuk mewakili negara dalam temasya di Gold Coast.

"Pengalaman saya dalam Sukan Komanwel Glasgow pada 2014 begitu berguna untuk Sukan Komanwel seterusnya.

"Memang saya banyak belajar di situ. Jadi, saya akan gunakan sepenuhnya pengalaman yang ada dan berusaha lebih lagi," tambahnya.