Atlet menembak negara, Muhammad Ezuan Nasir Khan, enggan mengikut jejak langkah tiga atlet menembak kebangsaan yang memfailkan saman terhadap Institut Sukan Negara (ISN), baru-baru ini.

Isnin lalu, tiga atlet menembak negara, Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Suryani Taibi, memfailkan saman di Mahkamah Kuala Lumpur dalam usaha untuk membersihkan nama mereka, dengan ISN dinamakan sebagai defenden tunggal.

Bagi Ezuan, ia adalah hak mereka jika mahu berbuat demikian, namun dia memilih untuk tidak mengikut jejak mereka.

“Tentang itu, saya tidak mahu mengulas lanjut kerana masing-masing mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja. Mereka boleh lakukan cara mereka dan saya dengan cara saya,” katanya.

Ezuan bersama tiga atlet terbabit dikeluarkan daripada Program Podium pada Februari lalu, namun dia berpuas hati dengan program yang dirangka buatnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi program Kita Juara.

Ezuan turut gembira dengan bimbingan yang diterima daripada jurulatih dari Korea Selatan, Park Sang Soom dan Kong Hyun Ah.

“Bagi saya, tiada masalah untuk berada dalam mana-mana program. Asalkan saya boleh beraksi dengan baik dan diawasi oleh jurulatih yang bagus dan MSN juga menyediakan kelengkapan yang sempurna untuk saya, itu sudah memadai,” ujarnya.