Jentera terbakar pada sesi latihan tidak menghalang pelumba negara, Muhammad Zaqhwan Zaidi, untuk meraih podium Kejohanan Endurance Dunia atau Sepang 8 Hours apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Berharap menggunakan pengalaman sebagai kelebihan, saingan Sepang 8 Hours kelihatan pudar bagi Zaqhwan apabila jenteranya terbakar waktu sesi latihan sebelum perlumbaan.

Bagaimanapun, dia melangkau jangkaan peminat tanah air apabila pasukannya berjaya meraih tempat kedua dalam perlumbaan.

"Saya sangat kecewa kerana jentera utama terbakar dalam sesi latihan, namun jentera gantian kami berjaya menghadirkan kejayaan kepada pasukan," kata Zaqhwan, yang merupakan pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA.

Saingan di Sepang itu dijuarai pasukan Yart-Yamaha yang melengkapkan 80 pusingan perlumbaan, meninggalkan pemenang tempat kedua dengan kelebihan masa 1 minit 49.622 saat.

"Saya amat gembira dengan prestasi sebab keadaan motosikal juga cukup baik, semuanya nampak mudah, perasaan saya bercampur-baur. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pasukan, rakan sepasukan dan berasa amat gembira dengan kerjasama minggu ini," kata pelumba Yart-Yamaha, Niccolo Canepa.

Sementara itu, pasukan Yamaha Sepang Racing yang menampilkan Franco Morbidelli, Hafizh Syahrin Abdullah dan Michael Van Der Mark, sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Trio BMW Sepang Racing, Azlan Shah Kamaruzaman, Adam Norrodin dan Julien Da Costa, pula mengakhiri perlumbaan di tempat kelapan.

"Terdapat beberapa situasi yang sukar diatasi ketika perlumbaan berlangsung tetapi kami berjaya menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik," kata Azlan.