Atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat, menganggap 2019 merupakan musim paling cemerlang dalam kariernya selepas menamatkan cabaran tahun ini dengan dua pingat emas Kejohanan Kebangsaan di Sabah, minggu lalu.

Perak dalam Kejohanan Negara Komanwel, gangsa dalam Sukan SEA Filipina selain dua emas dalam Kejohanan Kebangsaan melalui kategori 73kg remaja dan senior kebangsaan melengkapkan musim cemerlangnya.

Atlet berusia 20 tahun itu sering dibayangi kehebatan juara Sukan Komanwel, Aznil Bidin dan Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, namun selepas ini dia dijangka menjadi tumpuan.

"Dari awal tahun lagi, saya bekerja keras untuk menghadapi Sukan SEA.

"Saya juga meraih tempat ke-18 dalam Kejohanan Dunia di Pattaya, Thailand.

"Ini tahun terbaik buat saya kerana dapat capai sasaran.

"Saya mengharapkan prestasi lebih baik tahun depan demi mencapai prestasi yang lebih tinggi," katanya di Bukit Jalil.

Dalam kategori senior, Erry melakukan angkatan 136kg dalam snatch dan 166kg dalam clean & jerk untuk keseluruhan 302kg.

Catatan terbaiknya adalah 310kg ketika meraih gangsa Sukan SEA Filipina bulan ini.

Berdasarkan prestasi itu, dia dijangka mampu memberi saingan dalam perebutan tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun Malaysia meletakkan harapan besar kepada Aznil.