Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, adalah antara enam atlet persatuan sukan kebangsaan yang berjaya dalam rayuan ke Sukan Asia 2018 selepas Jawatankuasa Rayuan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meluluskan 447 nama ke Indonesia, Ogos depan.

MOM menambah 10 lagi atlet Malaysia dalam kategori B selepas meneliti rayuan persatuan, sekali gus menyaksikan seramai 447 atlet akan membawa cabaran negara mewakili 35 jenis sukan.

Jawatankuasa Rayuan MOM menerima 20 rayuan persatuan dan hanya meluluskan enam daripadanya.

"Ada yang dimasukkan daripada kategori B ke kategori A dan ada yang terus dalam kategori B. Ini adalah rayuan daripada persatuan sukan dan kami telah menelitinya.

"Daripada situ, kami melakukan keputusan," ujar ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

"Kami memberikan peluang yang adil kepada semua persatuan sukan. Pertambahan juga dilakukan tanpa sebarang perubahan kriteria yang kami terapkan.

"Ia diteliti semula agar kami tidak terlepas pandang nama atlet yang mampu memberikan pingat buat Malaysia," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

Turut menarik perhatian apabila Malaysia bakal mencatat penampilan sulung dalam acara kasut beroda apabila MOM menerima rayuan untuk mengambil bahagian dalam acara 20 kilometer inline skating lelaki.

Sementara itu, skuad terjun negara tetap dibenarkan menyertai Sukan Asia 2018 walaupun dipalit isu berfoya-foya, baru-baru ini.

"Ia merupakan perayaan Tahun Baru Cina dan kebanyakan atlet yang terlibat berbangsa Cina.

"Jadi, mungkin ia adalah satu budaya. Ia dilakukan secara tertutup dan selepas tiga hari bercuti daripada sesi latihan, mereka tidak boleh dihukum terlalu keras," tambah Abdul Azim.