Tiada zon selesa buat pemanah recurve elit negara apabila prestasi semasa menjadi ukuran pemilihan bagi mewakili Malaysia ke Sukan Asia Jakarta 2018.

Lima atlet memanah recurve lelaki yang berada di bawah Program Ppodium terdiri daripada Khairul Annuar Mohammad, Haziq Kamaruddin, Akmal Nor Hasrin, Muhammad Ikram Joni dan yang terbaru, Zharif Syahir Zolkepli.

Bagaimanapun, hanya empat nama yang akan dibawa ke Indonesia pada Ogos depan, sekali gus mewujudkan satu situasi yang amat sengit dalam kem Malaysia dengan masing-masing mahu memikat hati ketua jurulatih, Lee Jae Hyung.

"Jika pengalaman diambil kira, ia memang membantu tetapi seandainya prestasi tidak memuaskan, situasi itu tidak akan memberi manfaat kepada pasukan.

"Pengalaman memang saya ada tetapi prestasi saya biarlah jurulatih yang menilainya," kata Haziq.

Walaupun sukan memanah tidak tersenarai dalam Sukan Komanwel, 4-15 April depan, ia tidak bermakna mereka akan tersisih daripada sebarang kejohanan kompetitif.

Empat siri Piala Dunia bermula di Shanghai April depan, diikuti Turki, Salt Lake City (Amerika Syarikat) dan Berlin, Jerman menjadi kalendar penting buat pemanah kebangsaan sebelum berentap dalam Sukan Asia.

Tahun lalu, aksi Piala Dunia di Salt Lake City menyaksikan Malaysia berjaya membawa pulang pingat gangsa.

"Untuk Piala Dunia tahun lalu, kami tidak menjangka kemenangan yang diraih jika faktor cuaca diambil kira. Saya harap kami dapat meneruskannya tahun ini," ujar Khairul Annuar.