Emma Firyana Saroji berazam mengulangi kejayaan dua tahun lalu yang menyaksikan dia muncul juara dalam Kejohanan Perseorangan Boling Padang Juara Antara Juara dalam usahanya mengukuhkan kedudukan selaku perseorangan wanita negara dalam Sukan Komanwel 2018.

Emma tidak menyertai Kejohanan Asia Ke-12 di New Delhi baru-baru ini bagi memberi tumpuan kepada kejohanan di Sydney, Australia itu dari 31 Oktober hingga 5 November nanti.

Ini kerana Siti Zalina Ahmad, yang memenangi acara perseorangan wanita Kejohanan Asia buat kali ke-10 selain acara berpasangan pada awal bulan ini, turut memasang impian yang sama.

Justeru, bekas pemenang pingat emas Piala Asia 2012 itu berharap pengalamannya sebelum ini akan membantu dirinya untuk mengulangi pencapaian sama.

Namun, atlet berusia 30 tahun itu mengakui cabaran di sana bukan mudah, tambahan pula beberapa pencabar terkuat seperti England, Afrika Selatan, New Zealand dan tuan rumah yang merupakan antara 22 negara yang mengesahkan penyertaan.

"Saya berasa yakin untuk mengharungi kejohanan ini. Saya sudah melihat senarai pencabar yang bakal dihadapi. Mereka bukanlah calang-calang pencabar kerana ini pentas juara antara juara.

"Saya positif untuk memberikan aksi terbaik buat diri sendiri dan negara," katanya.

Sebelum ke Sydney, Emma menjelaskan dia akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu berlatih di bawah cuaca panas. Ini memandangkan Kejohanan Juara Antara Juara itu akan berlangsung di luar dewan dengan suhu sekitar 21 darjah Celsius.

"Saya perlu membiasakan diri untuk berdiri lama ketika beraksi selain faktor perbezaan cuaca panas di antara Malaysia dan Australia.

"Mental kena kuat dan saya tidak boleh terlalu memikirkan soal itu selain memastikan ketahanan fizikal," tambahnya.