Atlet olahraga negara, Rayzam Shah Wan Sofian, menyimpan hasrat untuk memecahkan rekod kebangsaan acara 110 meter lari berpagar miliknya dalam Sukan SEA Filipina bulan depan.

Bagaimanapun, pelari kelahiran Keningau itu, yang baru dinobatkan sebagai Olahragawan Sabah 2017-18, menegaskan ia bukanlah keutamaannya kerana menyumbang dan mempertahankan pingat emas buat negara adalah sesuatu yang lebih penting.

Sebelum ini, Rayzam Shah memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 13.67s dalam Kejohanan Kurpfalz Gala di Jerman pada 2017.

Ia sekali gus memadamkan rekod berusia 23 tahun milik Nur Herman Majid (13.73s).

"Memang ada hasrat (untuk memecahkan rekod) tapi dalam kejohanan seperti ini (Sukan SEA), mempertahankan emas lebih penting.

"Bagaimanapun, jika ada rezeki untuk pecahkan rekod, itu saya anggap satu bonus," katanya selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2017-18 di Kota Kinabalu, malam tadi.

Rayzam Shah turut mendedahkan dia masih sedikit trauma selepas patah tangan dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, April lalu.

"Ya, tidak dinafikan, setiap kali saya berlari, saya sedikit trauma tetapi keadaan itu semakin hari semakin hilang dan disebabkan itu juga, saya menggandakan persiapan agar perasaan itu hilang.

"Apapun, saya yakin akan dapat mengatasi perasaan itu menjelang Sukan SEA kerana saya mahu melakukan yang terbaik untuk membantu negara mempertahankan emas," katanya.

Rayzam Shah akan menjadikan gelaran Olahragawan Sabah itu sebagai pendorong untuk mempertahankan pingat emas di Filipina.

Dia tidak menyangka akan kembali menerima anugerah itu selepas meraihnya pada 2007 memandangkan calon-calon lain turut memiliki pencapaian cemerlang.

Dia akan ke berlepas ke Manila esok untuk memperisapkan diri menjelang temasya itu.