Digugurkan daripada skuad kebangsaan bulan lalu, penembak dari Johor, Eddy Chew, membuktikan kemampuan apabila meraih pingat emas acara 50 meter free pistol pada hari terakhir Kejohanan Terbuka Selangor 2017, hari ini.

Eddy tidak lagi bersama skuad kebangsaan sejak bulan lalu selepas gagal mempamerkan aksi memberangsangkan dalam Sukan SEA 2017, namun dia tidak berputus asa untuk meneruskan momentum meskipun kekurangan latihan.

Dia berjaya menewaskan pencabar terdekat, Johnathan Wong, yang merangkul pingat perak selepas membidik 226.8 mata.

Eddy tidak menolak agak bergelut selepas tidak bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sehingga memaksa dia berlatih bersendirian.

"Nak berlatih pun susah, mungkin dalam tempoh seminggu itu, saya akan datang untuk berlatih sebanyak dua atau tiga kali.

"Minggu depan, saya merancang untuk berlatih bersama pasukan Korea Selatan sempena persiapan kita akan menjadi tuan rumah Kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) pada tahun depan," katanya yang tetap diberi peluang untuk berada dalam Program Kita Juara, bermula Januari 2018 sebagai persediaan ke Sukan SEA 2019.

Hanya impian untuk ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 bersama-sama Johnathan mungkin terkubur dan dia perlu fokus memperbaiki prestasi selepas ini.

"Peluang itu tipis tetapi saya tetap menaruh harapan kerana pernah meraih tempat keempat dalam Sukan Komanwel Glasgow," katanya.

Sementara itu, penembak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Nur Suryani Taibi, pula cemerlang mengekalkan pencapaian terbaik dalam Terbuka Selangor apabila merangkul emas ketiga bagi acara 10m air rifle.

Dia mencatat 244.0 mata untuk meninggalkan penembak Perak, Nur Fatin Syairah, di tempat kedua dengan perbezaan 3.2 mata.

Jelasnya, biarpun kekurangan latihan, bekas penembak kebangsaan itu hanya menggunakan pengalaman yang ada untuk memastikan pencapaian konsisten sehingga ke hari terakhir kejohanan.

"Momentum saya tidak berada di tahap 100 peratus. Saya menggunakan pengalaman yang ada agar saya tidak terlalu ketinggalan kerana persiapan selama dua minggu tidak mencukupi," ujar Nur Suryani.