"Ng Eain Yow dan S. Sivasangari berupaya menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan buat skuasy Malaysia pada musim 2020."

Itu pendapat Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam, tatkala kedua-dua pemain itu dilihat sebagai masa depan skuasy kebangsaan.

Pemain skuasy lelaki nombor satu negara, Eain Yow, kini berlatih sepenuh masa di Bristol, England sambil Sivasangari berada dalam program skuasy Universiti Cornell di New York, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, potensi sebenar mereka tidak dicerminkan kedudukan ranking dunia semasa apabila berada di luar kelompok 30 terbaik.

Justeru, SRAM menjadikan Kejohanan Berpasukan Asia dan Kejohanan Dunia Wanita musim ini sebagai medan buat mereka membuktikan kewibawaan.

Simbolik dengan Wawasan 2020, badan induk skuasy negara itu meletakkan sasaran untuk mereka menamatkan saingan tahun ini dalam kelompok 20 terbaik dunia.

"Dalam tahun ini, jika kami tampil cemerlang dalam Kejohanan Berpasukan Asia dan Kejohanan Dunia Wanita, pemain naik dalam kedudukan dunia, ia adalah satu kejayaan besar buat kami," tambah Maniam.

"Buat Kejohanan Asia Junior, kami harus kekalkan pencapaian. Tahun lalu kami meraih enam pingat, jadi ia perlu dikekalkan."




Editor: Nafis Abdullah