Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow, mahu memulihkan kembali prestasinya dalam saingan Terbuka Malaysia bermula 18 Oktober depan selepas beraksi hambar dalam dua kejohanan terdahulu sejurus berakhir temasya Sukan SEA, Ogos lalu.

Selepas berakhir Sukan SEA, Eain Yow menyertai dua saingan di Kanada dan Hong Kong di mana dia tewas seawal pusingan pertama dalam kedua-dua kejohanan terbabit.

Mungkin faktor kepenatan menyebabkan pemain muda itu gagal mempamerkan aksi konsisten sepertimana yang ditampilkan dalam Sukan SEA untuknya merangkul dua pingat emas.

Dalam saingan Terbuka Malaysia nanti, Eain Yow dijadual berdepan pemain senior, Nafiizwan Adnan, dalam pusingan pertama.

“Saya berdepan Nafiizwan dalam pusingan pertama. Saya mengambil ini sebagai cabaran untuk mara ke pusingan seterusnya,” kata Eain Yow.

Setakat ini, ketahanan fizikalnya masih belum berada pada tahap optimum selepas baru sahaja menjalani sesi latihan yang padat minggu lalu.

“Saya masih lagi giat melakukan latihan kecergasan untuk membuat persiapan beraksi dalam Terbuka Malaysia nanti,” katanya.