Kecederaan menyaksikan pemain skuasy lelaki nombor satu negara, Ng Eain Yow, mengundurkan diri daripada penyertaan aksi kompetetif sebelum kempen Kejohanan Skuasy Dunia bulan depan.

Antara kejohanan yang terpaksa dilupakan Eain Yow adalah Terbuka Amerika Syarikat yang berlangsung minggu lalu.

Atlet berusia 21 tahun itu difahamkan mengalami kecederaan buku lali kanan selepas memenangi Terbuka Malaysia, 29 September lalu.

Meskipun kehilangan momentum prestasi semasa, Eain Yow menegaskan kepentingan untuk mengorbankan beberapa kejohanan kecil sebelum kempen Kejohanan Dunia yang dijadual berlangsung di Doha dari 8 hingga 15 November depan.

"Saya terpaksa mengetepikan Terbuka AS kerana mengalami kecederaan ketika beraksi dalam Terbuka Malaysia. Perjalanan masih jauh dan banyak lagi peningkatan yang perlu saya lakukan untuk menghadapi Kejohanan Dunia bulan depan," katanya.