Pemain skuasy remaja negara, Ng Eain Yow, mengakui dia masih kekurangan daya ketahanan fizikal di samping perlu mempunyai kecergasan yang lebih baik andai ingin beraksi dalam pertandingan bertaraf senior.

Mengecapi status pemain senior bakal memberi cabaran tersendiri buat Eain Yow untuk membuktikan dia merupakan taruhan terbaik negara selepas Nafiizwan Adnan.

Kejohanan kebangsaan tempoh hari memberi gambaran awal kemampuannya apabila menduduki tempat ketiga.

Namun, Eain Yow mengakui dia masih kekurangan ketahanan fizikal untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

"Saya telah memohon kepada jurulatih agar diberi peluang untuk bermain di luar negara memandangkan ranking saya bertambah baik.

"Tapi permintaan saya itu ditolak kerana jurulatih masih belum berpuas hati dengan keadaan fizikal dan kecergasaan saya dalam beberapa perlawanan lalu.

"Jadi, dalam tempoh enam minggu ini, saya akan berusaha tingkatkan tahap kecergasan dan fizikal saya," ujarnya.

Tumpuan seterusnya buat pemain berusia 18 tahun itu ialah Kejohanan Remaja Terbuka British pada Januari nanti yang juga penyertaan terakhir buat dirinya dalam kategori berkenaan.

Eain Yow ketika ini menduduki tangga ke-118 ranking dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA), namun dia yakin mampu mengecapi sasaran berada dalam kelompok 100 terbaik sebelum berakhir tahun 2016.

Mengulas mengenai kemampuan pemain remaja yang lain, Eain Yow yakin mereka juga dapat mengukir nama di peringkat antarabangsa andai kekal berdisiplin.

"Pemain Malaysia sememangnya sedang meningkat naik.

"Masalah yang saya hadapi ketika ini adalah peralihan dari peringkat remaja ke senior yang lebih mencabar.

"Buat masa ini, saya dan S. Sivasangari mula mendapat rentak di peringkat senior, saya harap rakan-rakan yang lain dapat mengikut jejak kami."