Pemain golf amatur, Nur Durriyah Damian, menganggap ketiadaan jurulatih tetap mampu menjejaskan persiapan skuad golf wanita negara untuk menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Menurut Durriyah, persiapan skuad kini sedikit perlahan berikutan ketiadaan jurulatih secara tetap untuk memperbaiki teknik permainan, terutama dalam sesi latihan.

Lantas, dia berharap perkara ini dapat diatasi secepat mungkin jika tidak ingin ketinggalan berbanding pencabar lain seperti Thailand, yang menguasai kesemua empat emas pada edisi 2015 di Singapura.

"Kercergasan fizikal sahaja yang lebih bersedia dan menjadi fokus ketika ini. Mengenai teknik, belum ada lagi kerana tiada jurulatih lagi.

"Dalam golf, kalau nak tukar apa-apa memerlukan masa. Jadi, kalau boleh saya mahukan jurulatih segera kerana ia membolehkan kami bersedia lebih awal," katanya.

Durriyah berada dalam senarai awal bagi acara berpasukan saingan golf untuk temasya sukan dwi-tahunan itu bersama-sama Ashley Lau dan Winnie Ng.

Dalam pada itu, Durriyah mempamerkan aksi lebih matang dalam penampilan keduanya di Kejohanan Golf LPGA Malaysia 2016 di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara, yang berakhir semalam.

Dia menamatkan saingan di kedudukan ke-69 dengan 297 pukulan keseluruhan, 13 di atas par, sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lalu di mana dia meraih tempat ke-72.

Begitupun, pemain berusia 22 tahun ini berasakan masih ada kekurangan yang perlu diatasi andai ingin mencapai hasrat bergelar pemain profesional sedikit masa lagi.

"Sepanjang pertandingan ini, (prestasi) saya sangat tidak memuaskan kerana banyak yang tidak menjadi. Kebanyakan setiap perkara tidak menjadi. Tetapi saya akan tingkatkannya, Insya-Allah."

Pencapaian terbaik skuad golf negara di temasya Sukan SEA adalah pada edisi 2013 dengan meraih satu perak dan satu gangsa.

Dalam edisi terakhir di Singapura pada tahun lalu, skuad negara gagal meraih sebarang kejayaan.

Kini, tinggal 291 hari lagi sebelum temasya Sukan SEA Ke-29 membuka tirainya di Kuala Lumpur pada 19 Ogos 2017.