Bintang ragbi negara, K. Dineshwaran, atau lebih selesa dengan panggilan Duke memerlukan tiga bulan lagi untuk pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan patah tangan pada Disember lalu, namun tetap berharap diberi kepercayaan mewakili negara beraksi dalam Kejohanan Ragbi Premier Asia 2018, 28 April depan.

Duke yang patah tangan kanan ketika saingan Liga Ragbi Jepun tahun lalu kini beransur pulih dan telah pulang ke Jepun untuk kembali bersama pasukannya, Yamaha Jubilo.

Dia akan meneruskan proses pemulihan di sana dan hanya akan kembali ke tanah air jika dipanggil mewakili negara dalam Kejohanan Premier Asia, akhir bulan depan.

Sekiranya masih tidak dibenarkan beraksi, pemain berusia 29 tahun itu harus menanti sehingga 3 Jun untuk aksi persahabatan kelabnya menentang Itali di Jepun.

"28 April ini ada perlawanan di Jepun dan ia membuatkan saya perlu mempercepatkan proses pemulihan tetapi saya mahu beraksi untuk skuad kebangsaan," katanya.

Bagaimanapun, Duke yang akan bersama Yamaha Jubilo sehingga 2019, hanya ingin memastikan kariernya terus meningkat dalam pasukan dan tidak mustahil untuk terus kekal sekiranya ditawarkan kontrak baru.

"Sasaran saya adalah kembali ke prestasi terbaik kerana selepas ditimpa kecederaan, tentunya tahap itu telah menurun. Saya mahu jadi lebih bagus daripada sebelum ini," ujarnya lagi.