Benarkah dua raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dan Mohd Haiqal Hanafi, akan berpisah dengan jurulatih mereka, Poad Kassim?

Persoalan itu timbul selepas kedua-dua pelari pecut itu menyertai kem latihan bersama pengarah teknikal skuad olahraga negara, Dwayne Millers, di Bukit Jalil sejak minggu lalu.

Bagi menjelaskan mengenai situasi itu, ketua jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil, berkata dalam satu temu bual Nadi Arena: "Sebaik-baiknya kesemua atlet ini berada dalam satu pusat latihan kerana ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pecutan mereka secara individu, malah kami mahu menjadikan pasukan 4x100 meter dan 4x400 meter lebih mantap kerana berada di satu tempat yang sama.

"Buat masa ini, kami masih belum membuat keputusan secara sepenuhnya sehingga terdapat perbincangan bersama jurulatih Poad dan atlet-atlet yang terlibat juga Dwayne Millers dan MSN (Majlis Sukan Negara).

"Saya rasa ia petanda yang baik seandainya semua pihak bersetuju dan kami dapat bersama-sama membantu atlet pecut negara," katanya.

Mengulas mengenai Poad, Manshahar menambah: "Kami tidak menafikan Cikgu Poad telah banyak melahirkan atlet pecut dan sehingga kini, wibawanya memang kita perlu hargai sebagai antara jurulatih tempatan terbaik yang kita ada.

"Bagaimanapun, kita perlu lihat pada sudut berbeza di mana atlet yang berada di SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) sudah beralih angin untuk belajar di Kuala Lumpur.

"Mereka kini berada di Kuala Lumpur kecuali Khairul Hafiz, yang mempunyai komitmen bersama Maybank di Kuala Lumpur, dan pelepasan yang diberikan Maybank adalah untuk dia berlatih bersama Cikgu Poad.

"Haiqal juga sedang dalam proses untuk bekerja, saya pasti dia akan bekerja di sekitar Lembah Klang.

"Kalau kita lihat, mereka berpindah (ke Kuala Lumpur) bukan untuk menidakkan kemampuan Cikgu Poad tetapi kerana mereka ada tugas di Kuala Lumpur," katanya lagi.