Dua atlet para berpeluang jalani program khas 

Oleh Penulis Jemputan 11 Oktober 2017 131
Dua atlet para berpeluang jalani program khas 
Ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, memberi bayangan program latihan khas akan diberikan kepada dua wakil negara yang mendapat slot untuk beraksi dalam Sukan Para Komanwel Gold Coast 2018. 

Ia diberikan kepada Afiz Ali Hanafiah dan Ahmad Solihin Mohd Nor selepas masing-masing berada dalam kedudukan enam terbaik dunia ketika ini. 

Meskipun matlamat utama adalah untuk meraih pendedahan, Jeganathan mahu persiapan terbaik tetap direncanakan buat mereka. 

"Kami akan mempersiapkan dua atlet ini dengan latihan khas. Saya harap pada minggu depan perbincangan dapat diadakan, kami akan menilai program pendedahan dan juga penyertaan atlet ke kejohanan luar negara. 

"Saya berharap Solehin setidak-tidaknya daripada kelompok enam terbaik, melonjak ke tangga ketiga atau keempat. 

"Saya mempunyai keyakinan kerana dia pernah melakukan catatan 11.32 saat. Kalau dia boleh melakukannya lagi, dia boleh menjadi prospek medal," kata Jeganathan. 

Dalam masa sama, dia mahu memastikan penyertaan dalam temasya Para Asia di Indonesia tahun hadapan turut menjamin pulangan yang sama seperti edisi sebelumnya di Incheon, Korea Selatan. 

Temasya itu semestinya paling diingati kerana kejayaan Allahyarham Azlan Mat Lazim yang meraih tiga pingat emas. 

"Dulu di Incheon kita mendapat 10 medal, arwah menghadiahkan kita tiga. 

"Sekarang, kebanyakan negara sudah maju dalam olahraga para, jadi kami harus berusaha gigih berlatih dalam tempoh enam bulan setengah ini. 

"Kami akan tengok bentuk pendedahan yang macam mana. Kami akan melihat kesesuaian tempat latihan di luar negara atau dekat sini dan program latihan mereka," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen