"Pingat emas... itu fokus saya!" Demikian laungan Dr Malvern Abdullah, 42, sebelum berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia untuk membawa cabaran negara merebut gelaran Mr World dalam kategori flyweight, Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia ke-9.

Turut mengiringi Dr Malvern ialah dua rakan pelatihnya, Buda Anchah dan Awang Mohamad Azizul Ghani, yang turut beraksi dalam kategori masing-masing.

Bagi Dr Malvern, kejayaan menjulang gelaran Mr Asia di Seoul, Korea Selatan, beberapa bulan lalu membakar semangatnya untuk memperoleh kejayaan lebih besar.

"Malah, kejayaan inilah yang mendorong semangat saya untuk menyasarkan emas di Mongolia kelak," katanya.

Dia mengakui tugas itu bukan mudah tetapi bersandarkan pengalaman sebelum ini, dia yakin akan dapat pergi lebih jauh.

Pada 2015, Dr Malvern telah memenangi pingat perak dalam Kejohanan Dunia dan pada tahun lalu, memenangi gangsa.

“Berbekalkan kemenangan di Seoul, saya yakin pingat emas akan berada dalam genggaman."

Tambahnya, dia telah mengadakan persediaan rapi untuk kejohanan ini dan rejim latihan yang diikutinya juga berbeza.

"Bukan sahaja tumpuan diberikan kepada latihan keras tetapi juga melibatkan pemakanan yang seimbang bagi membantu mendapatkan berat yang telah ditetapkan.

“Persiapan mental juga telah diperkemaskan bagi membantu memperoleh kejayaan yang cemerlang," tambahnya.

Menurut Dr Malvern lagi, dia percaya saingan mungkin akan datang dari negara-negara seperti Thailand, Myammar, Vietnam, India dan Iran.

"Namun, saya tidak gentar kerana kebanyakannya pernah saya saingi," katanya lagi.