Doping: Atlet bina badan sempat halang sertai Mr. Asia 

Oleh Staff Writer 11 November 2019 329
Doping: Atlet bina badan sempat halang sertai Mr. Asia 
Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), Kamarulzaman Kadir, mengesahkan seorang atlet negara telah dikesan positif bahan terlarang jenis steroid sebelum dihalang menyertai Kejohanan Mr. Asia, September lalu.

Ini kes doping pertama tahun ini ketika atlet negara dalam persiapan fasa akhir menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan ini. 

Mujur, bina badan tidak dipertandingkan dalam temasya bulan depan, sekali gus meletakkan persiapan kontinjen negara di landasan tepat.

Kes itu dikesan beberapa hari sebelum skuad negara menyertai Mr Asia yang secara tidak langsung menyaksikan atlet terbabit dihalang ke venue pertandingan di Batam, Indonesia.

"Kami mahu memastikan mereka benar-benar bersih (daripada doping), itu kriteria yang kami tetapkan. 

"Kami tidak mahu mereka 'sangkut' ketika menyertai kejohanan antarabangsa sehingga seluruh dunia mendapat tahu. Jadi, mereka boleh pertikai mengapa Malaysia boleh menang gelaran beberapa kali," katanya. 

PBBM sudah memanggil atlet tersebut dan mengenakan penggantungan empat tahun.

Dalam kejohanan itu, skuad negara mencipta sensasi apabila Syarul Azman Mahen Abdullah mempertahankan gelaran Mr. Asia buat kali kelima dalam kategori 'body physique' bawah 170sm.

Syarul meraih kejayaan berganda apabila turut mempertahankan gelaran Mr. Universe di Korea Selatan, kelmarin. 

"Kami begitu serius dalam soal doping. 

"Setakat ini, kami (yang menyertai kejohanan) adalah bersih dan saya berharap dalam Sukan SEA akan datang, acara bina badan akan dimasukkan," kata Syarul Azman. 

Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) lega apabila isu berkenaan tidak membabitkan kontinjen Sukan SEA.

MSN telah bekerjasama dengan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) untuk menguji 200 sampel air kencing atlet negara --- majoriti daripadanya yang akan menyertai temasya dwitahunan itu. 

"Semua pihak perlu mengambil perhatian, khususnya  buat atlet yang mungkin mengambil bahan suplemen, jadi silalah berhubung dengan Institut Sukan Negara (ISN). 

"Jangan dedahkan diri dengan amalan tersebut kerana mereka perlu berhati-hati. Ini kerana apabila sekali sahaja mereka diuji positif, ia bermakna mereka terpaksa bertanggungjawab terhadapnya. 

"Saya berharap tiada seorang pun atlet Sukan SEA negara yang terlibat," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. 

Dalam masa sama, kontinjen negara kini dalam fasa akhir menjelang Majlis Penyerahan Jalur Gemilang, 21 November ini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen