Malaysia membawa pasukan besar menyertai dodgeball Piala Dunia di New York pada Ogos 2018 apabila tiga pasukan menerusi kategori campuran, wanita dan lelaki meraih slot automatik susulan aksi cemerlang muncul juara dalam Kejohanan Asia Pasifik di Arena Axiata, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Ternyata aksi paling sengit membabitkan pasukan lelaki yang turun dengan status selaku pasukan nombor dua dunia, namun tenang mematahkan hasrat Australia untuk bergelar juara.

Skuad negara yang diketuai Mohamad Heidy Mohd Yusof bijak mendominasi permainan yang akhirnya membawa kepada kemenangan selesa 10-4.

Bagi Heidy, segala kekangan dan kesukaran selama ini akhirnya berbaloi dan hasrat untuk ke New York bukan sekadar memenuhi jadual tetapi mereka menyasarkan kejuaraan dunia selepas sekadar menduduki tempat kedua, tahun lalu.

“Kami bermain dengan sepenuh hati, kami tahu kami mampu dan berjaya membuktikannya,” katanya.

Sementara itu, kejayaan skuad wanita negara disambut dengan penuh emosi selepas gagal menempatkan diri dalam Piala Dunia tahun lalu hanya kerana masalah teknikal.

Bagi Awatif Ezzah Abd Rahim, kemenangan 9-3 ke atas Australia cukup bermakna dan slot automatik yang diraih itu dianggap sebagai peluang terbaik untuk Malaysia membuktikan kemampuan sebenar mereka di mata dunia.

“Kami menentang Australia kali ini di tempat sendiri berbekalkan misi mahu menumbangkan mereka,” ujar Awatif Ezzah.

Bagi pasukan campuran, mereka turut mengesahkan tempat ke Piala Dunia setelah menundukkan Australia 7-5 dalam final.