Dimitrov rangkul kejuaraan Final ATP buat kali pertama

Oleh Penulis Jemputan 20 November 2017 15
Dimitrov rangkul kejuaraan Final ATP buat kali pertama
Grigor Dimitrov melakar kemenangan ke atas David Goffin untuk merangkul kejuaraan Final ATP buat kali pertama dalam kerjayanya di O2 Arena, London, awal pagi tadi. 

Dimitrov, yang menewaskan Goffin 6-0, 6-2 dalam peringkat kumpulan, mengharungi perlawanan tiga set untuk sekali lagi menewaskan pemain itu 7-5, 4-6, 6-3.

Kejohanan pada tahun ini kurang penglibatan nama-nama besar seperti Novak Djokovic dan Andy Murray, selain Rafael Nadal juga terpaksa menarik diri akibat mengalami kecederaan.

Sementara itu, Roger Federer dikejutkan Goffin dalam separuh akhir tetapi pemain pilihan ketujuh itu gagal mengulangi pencapaian baiknya dalam perlawanan akhir.

Dimitrov adalah pendatang baru pertama yang memenangi Final ATP sejak Alex Corretja pada 1998 dan menamatkan kejohanan itu dengan memenangi kesemua lima perlawanannya.

"Saya berharap saya boleh menjelaskan emosi saya dan ia menjadi satu penghormatan dapat bermain di sini," kata pemain berusia 26 tahun itu.

"Ia menjadi salah satu minggu terbaik yang pernah saya alami, tanpa keraguan. Hebat berada di sini dan menang.

"David (Goffin) adalah seorang pemain yang hebat. Saya mengucapkan tahniah kepadanya dan pasukannya di atas hasil yang menakjubkan ini, saya fikir dia adalah salah seorang pemain yang paling baik sepanjang kejohanan.

"Saya berasa bangga dapat bermain dengannya dalam perlawanan akhir," tambah Dimitrov.

Selain kejayaan di London, Dimitrov juga cemerlang tahun ini dengan menjuarai Masters Cincinnati, Kejohanan Antarabangsa Brisbane dan Terbuka Sofia.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen