Kejohanan Terjun Kebangsaan November ini menghadirkan perasaan teruja dilahirkan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, mengenai pertandingan sulungnya bagi musim 2020.

Buat masa ini, Dhabitah lebih terarah menjalani latihan normal bagi mendapatkan prestasi asal sekaligus membantu untuk mengembalikan rentak terjunan terbaik.

Lega dengan pengumuman kejohanan selepas penularan wabak Covid-19, ia merupakan perkara yang dinantikan Dhabitah meskipun masih dipalit isu kecederaan bahu.

Meskipun bakal dijalankan secara atas talian, yang pasti ia akan memberikan lebih banyak ruang untuk Dhabitah membuat persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

"Buat masa ini, kami sangat lega dengan perkhabaran dengan penganjuran saingan November ini kerana ia memberikan matlamat dalam setiap latihan untuk menyertai kejohanan. Terdapat perasaan gementar kerana sudah lama tidak menjalani sebarang latihan," kata Dhabitah ketika ditemui Nadi Arena di Majlis Sukan Negara (MSN).

Sementara itu, bagi Muhammad Syafiq Puteh, dia mahu menjadikan kejohanan pemanas badan tersebut sebagai medan membuktikan dia layak untuk beraksi di Piala Dunia Tokyo, Jepun seterusnya ke Sukan Olimpik.

"Saya akan berusaha untuk mendapatkan momentum serta sentuhan terbaik ketika melakukan terjunan bagi menghadapi saingan ini. Saya akan berusaha untuk merebut slot untuk beraksi dalam Piala Dunia Tokyo nanti," katanya.