Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, bakal membuat penampilan sulung dalam kancah Siri Dunia apabila terpilih mengiringi Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong untuk mencabar kejohanan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM6 juta.

Siri Dunia merupakan kejohanan mewah dalam kalendar Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Hanya lapan penerjun dalam ranking terbaik dunia layak bertanding dan apa yang membanggakan, Malaysia mempunyai tiga wakil.

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong, mengetuai senarai itu, diiringi Jun Hoong dan Dhabitah yang baru berusia 17 tahun.

Dhabitah akan beraksi dalam acara 3 meter papan anjal seirama bersama Jun Hoong selepas mereka meraih tangga kelima dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

"Terkejut jugalah dengan berita ini apabila dimaklumkan oleh jurulatih.

"Jurulatih mahu fokus kepada Siri Dunia untuk saya, dia turut mengatakan mungkin saya berpeluang untuk menyertai acara 10m individu platform juga," katanya.

Dhabitah turut diletakkan sebagai penerjun simpanan untuk acara 10m individu platform dengan menghuni ranking kesembilan dunia ketika ini.

Siri Dunia pertama akan diadakan di Beijing, China, Mac depan.

Skuad terjun negara sedang berlatih di tanah air sebelum kembali ke China untuk kem latihan pusat, Februari depan.

"Ketika ini, kami lebih banyak berlatih sendiri sebab ketiadaan peralatan dan tempat latihan yang sesuai di sini.

"Justeru, kami tumpukan kepada latihan untuk membina kekuatan dan akan mula berlatih sepenuhnya di China nanti."