Malaysia adalah pasukan terbaik dalam hoki padang wanita di rantau ini tetapi pencapaian dalam hoki dalam dewan pula kurang memberangsangkan.

Justeru, jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, berharap dapat mengubah pencapaian itu dalam kejohanan hoki dalam dewan Jemputan Antarabangsa Piala Tuanku Zara bermula di Dewan Merdeka, Kuala Kangsar hari ini.

"Kita bagus dalam hoki padang tetapi tidak dalam dewan.

"Saya tidak tahu kenapa. Apa yang pasti, saya berharap mendapat jawapan itu di Kuala Kangsar, " katanya dalam temu bual dengan radio PerakFM, malam tadi.

Walaupun tidak membariskan pasukan terbaik, jurulatih itu yakin dengan kemampuan skuad negara dalam kejohanan lima pasukan itu.

"Ini bukan pasukan terbaik kerana saya merehatkan beberapa pemain bintang kerana baru pulang daripada beraksi di Jerman.

"Apapun, pasukan ini adalah asas pembentukan skuad ke Sukan SEA, Filipina nanti, " katanya.

Dhaarma mengakui ilmunya dalam bidang hoki dalam dewan masih cetek kerana baru pertama kali membimbing pasukan negara.

"Ini tugasan pertama saya dalam hoki dalam dewan. Jadi, saya berharap dapat mencapai keputusan memberansangkan," ujarnya.

Jurulatih itu menjangka Uzbekistan sebagai pencabar kuat dalam kejohanan julung-julung kali diadakan itu.

Beliau yakin Malaysia mampu melepasi halangan Taiwan, Nepal dan Filipina walaupun sebagai hos Sukan SEA, Filipina juga membuat persiapan rapi, termasuk mengadakan latihan di Eropah.

Skuad negara akan memulakan kempen esok dengan bertemu Filipina di sebelah pagi dan kemudian China Taipei, pada sebelah petang.