Delia Arnold dan Mohd Nafiizwan Mohd Adnan berjaya mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2016 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Terdahulu, Delia tidak mempunyai masalah untuk menewaskan lawan yang sama ketika perlawanan akhir edisi 2015, Low Wee Wern, 3-0 (11-9, 11-2, 11-9) dalam pertarungan yang berlangsung selama 54 minit.

Delia mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Juara B-19, Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia (AJIC 2016), S. Sivasangari, di peringkat separuh akhir 14-12, 10-12, 11-9, 6-11, 11-7.

Turun selaku juara bertahan dan pilihan kejohanan, ternyata Delia tidak berhadapan kesukaran untuk memastikan gelaran juara kekal menjadi miliknya menerusi perlawanan straight set.

Delia membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 serta trofi manakala Wee Wern membawa pulang wang tunai RM2,000 serta trofi.

Bagi kategori lelaki, Nafiizwan menepati ramalan untuk muncul juara buat kali kedua berturut-turut, mengetepikan lawannya yang merupakan pilihan kedua kejohanan, Ivan Yuen Chee Wern, 3-1 (11-8, 8-11, 12-10, 11-8).

Nafiizwan, bagaimanapun, tidak diberikan laluan mudah untuk mempertahankan kejuaraan apabila perlawanan yang berlangsung selama satu jam 17 minit itu menyaksikan Ivan terus-terusan memberikan tekanan kepadanya.

Mendahului dalam set pertama, dia dilihat sedikit begelut dalam set kedua dan Ivan berjaya untuk merampas kemenangan dalam set tersebut 11-8.

Pemain kelahiran Terengganu itu, bagaimanapun, kembali bangkit untuk mencuri semula kemenangan dalam set ketiga dan keempat, sekaligus membawa pulang wang tunai RM4,000 dan trofi, manakala Ivan selaku naib juara membawa pulang RM2,000 berserta trofi.

"Dia (Ivan Yuen) bermain dengan baik di samping berjaya mengatasi tekanan yang saya berikan. Tetapi saya tidak boleh membenarkan dia menggunakan kesempatan itu, jadi saya bangkit dalam set kedua," jelas Nafiizwan.

Sementara itu, Delia mengakui agak terkejut kerana berjaya mengatasi pengalaman Wee Wern, terutama dalam set kedua.

"Saya agak terkejut dalam set kedua kerana mampu menang dengan mudah.

"Saya cuba mengekalkan ketenangan dalam set kedua dan saya berasa lega kerana mampu memenangi set itu," jelasnya.

KREDIT IMEJ: Laman Facebook SRAM