Kemenangan mudah Delia Arnold ke atas Lee Jia Wei, 11-5, 11-4, 11-6, dalam hari pertama Kejohanan Skuasy Kebangsaan memberi petanda bahawa kejuaraan tahun lalu mampu diulanginya.

Delia, yang juga pilihan pertama kejohanan melepasi halangan pertama tanpa tekanan selepas mudah menundukkan cabaran itu dalam tempoh 20 minit di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Dia menganggap aksinya hari ini sebagai perlawanan pemanas badan yang cukup baik, sebelum prestasi sebenar diuji dalam peringkat suku akhir.

"Saya berasa ia adalah aksi pemanas badan yang baik dan perlawanan yang agak mudah hari ini.

"Saya pasti perlawanan akan menjadi lebih hebat selepas ini. Jadi, saya menantikan perlawanan yang lebih sengit esok," kata Delia.

Aksi dalam kejohanan itu juga dianggapnya sebagai persediaan terbaik untuk menghadapi Kejohanan Dunia Berpasukan Wanita di Perancis pada hujung bulan ini.

Sementara itu, juara remaja dunia, Ng Eain Yow, turut mudah menewaskan Ryan Pasqual, 11-6, 11-4, 11-2, dalam tempoh 29 minit.

Dia yang masih segar dengan kejuaraan lalu, bertekad mahu meneruskan rentak kecemerlangan dalam kejohanan kali ini.

Walaupun sasaran awal Eain Yow sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir acara lelaki, dia tetap menyimpan harapan untuk mencipta kejutan besar.

"Jika saya layak ke separuh akhir, mungkin saya akan berhadapan dengan Mohd Nafiizwan Adnan atau Mohamad Syafiq Mohd Kamal. Jadi, ia mungkin akan menjadi perlawanan yang sukar.

"Bagaimanapun, saya akan terus memberikan aksi yang terbaik," kata Eain Yow.