Debaran yang dinantikan oleh barisan atlet dibawah program Road to Tokyo (RTT) semakin terasa apabila mereka tidak dapat membayangkan norma baharu yang perlu dipatuhi dalam latihan bermula esok.

Skuad pelayaran dan badminton negara bakal melapor diri di kluster pusat latihan masing-masing esok yang membabitkan jumlah 37 orang di Akademi Badminton Malaysia (ABM) serta 24 atlet, jurulatih dan anggota sokongan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi, Kedah.

Bagaimanapun, mereka meluahkan perasaan yang bercampur-baur untuk memulakan latihan dalam situasi normal baharu, iaitu perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kerajaan Persekutan.

Ia susulan barisan atlet belum pernah berada dalam situasi 'terkurung', apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga, dan tidak boleh menjalani hidup seperti biasa.

"Saya tidak sabar untuk menghadapi norma baharu namun tidak dapat menjangkakan apa yang berlaku. Ini merupakan satu pengalaman yang baru," kata pemain perseorangan negara, Soniia Cheah.

"Saya berasakan norma baharu ini dapat meningkatkan lagi kekuatan mental sebagai atlet," kata pemain beregu negara, Chow Mei Kuan.

"Saya berasakan sangat gembira kerana dapat kembali berlatih. Kuarantin 30 hari harus diikuti oleh setiap atlet yang mahu kembali menjalani latihan," kata atlet pelayaran negara, Juni Karimah Noor Jamali.