Oscar De La Hoya mengesahkan bahawa dia akan kembali daripada persaraannya pada usia 47 tahun.

De La Hoya tidak pernah bertarung selepas ditewaskan Manny Pacquiao pada Disember 2008.

Sebagai pemenang gelaran dunia sebanyak 11 kali dengan enam kelas berbeza, peninju Amerika Syarikat itu kekal sebagai susuk yang membawa pengaruh besar dalam mempromosikan sukan tinju di serata dunia.

De La Hoya kini memilih untuk kembali ke gelanggang selepas 12 tahun tidak melakukannya.

"Khabar angin itu benar, dan saya akan memulakan latihan bertarung dalam beberapa minggu depan," katanya kepada ESPN.

Keputusan itu dilakukannya selepas Mike Tyson, Roy Jones Jr dan Evander Holyfield melakukan kejutan apabila mengumumkan bahawa mereka mungkin akan kembali ke gelanggang

Bagaimanapun, DeLa Hoya menjelaskan perlawanan pertunjukan tidak menarik minatnya.

Dia menambah: "Ia satu perlawanan sebenar. Saya rindu untuk berada di atas gelanggang, saya cintakan sukan tinju. Tinju telah memberikan segala-galanya yang saya ada hari ini dan saya hanya merindukannya."

De La Hoya sedar ramai akan mempertikaikan kemampuannya memandangkan sudah lama dia tidak beraksi.

"Baik, benar ia sudah terlalu lama tetapi tumbukan saya berasa lebih pantas berbanding sebelum ini.

"Saya perlu memastikan keadaan saya sempurna dan kesihatan saya baik.

"Dan ia akan berlangsung dalam beberapa minggu depan, jadi kita akan lihat," katanya lagi.