Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Daniel Haikal Edy Suhaidee, kecewa digugurkan daripada skuad kebangsaan dan memohon Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) agar mempertimbangkan namanya untuk kembali ke pangkuan skuad negara.

Atlet kelahiran Muar, Johor itu mengingatkan badan induk berkenaan bahawa dia sudah mencapai indeks penunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan PKBM.

Dia meraih tangga keempat peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL) Edisi Ke-25, dua minggu lalu yang merupakan pencapaian terbaik dalam kalangan pelumba skuad kebangsaan.

Malah, pelumba berusia 22 tahun ini turut meraih tangga ketiga peringkat pertama Kejohanan Jelajah Semenanjung 2019.

Dalam masa sama, Daniel Haikal masih berhasrat menyertai skuad trek negara.

"Saya bermula dengan mengikuti program berbasikal trek apabila pernah memenangi pingat perak dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), malah saya (antara tonggak yang) memecahkan rekod kebangsaan dalam acara kejar mengejar berpasukan lelaki dan ia masih bertahan," katanya ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, di Bukit Jalil hari ini.






Majlis Sukan Negara (MSN) memansuhkan program basikal lebuh raya selepas gagal menyumbang sebarang pingat dalam Sukan SEA Filipina Disember lalu dan akan mengadakan perbincangan dengan persekutuan itu dalam masa terdekat bagi membentuk program baru menjelang Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang dijangka Jun depan.







"Kami memang tahu bahawa dia merupakan yang terbaik.

"Tetapi memandangkan dalam dua edisi Sukan SEA seterusnya acara lebuh raya mungkin tidak akan dipertandingkan, cuma ketika ini persiapan kami tertumpu ACC dan beberapa kejohanan lagi.

"Kami tidak menghalangnya untuk menyertai skuad trek," kata Timbalan Presiden PKBM, Yunus Ibrahim ketika dihubungi.