Dua atlet muda karate negara, S. Danesh Kumar dan Narasima Veran Ponnarasu, mahu menjadikan penyertaan mereka dalam Kejohanan Karate Remaja Asia 2016 di Makassar, Indonesia sebagai batu loncatan untuk disenaraikan ke Sukan SEA 2017.

Danesh Kumar, 16, yang bakal beraksi untuk kategori remaja bawah 76 kilogram adalah atlet termuda kejohanan.

Tidak gentar berdepan lawan yang lebih handal, terutama dari Jepun, Danesh menyimpan impian besar mahu bergelar juara bagi membuka mata barisan kejurulatihan terhadap potensinya.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir. Saya masih menjalani latihan untuk memantapkan prestasi saya.

"Ia merupakan penyertaan pertama dalam kejohanan di peringkat Asia dan saya akan memberikan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Ponnarasu, yang mengambil bahagian dalam acara bawah 60 kilogram bagi kategori bawah 21 tahun, melihat peserta dari negara Asia Barat sebagai pesaing terbesar.

Masih belum mengetahui bagaimana peluangnya di sana, atlet berusia 20 tahun itu berharap dapat meraih pengalaman berguna untuk mematangkan aksinya di atas gelanggang.

“Sasaran saya adalah pingat emas dan berharap dengan persiapan yang rapi, segala-galanya akan berjalan lancar," kata Ponnarasu.

Kejohanan Karate Remaja Asia berlangsung di Pusat Konvensyen Celebes (CCC), Makassar, 25-27 November ini.