Croneborg, Riesler raih gelaran Ironman Langkawi 2016

Oleh Shaiful Shamsudin 12 November 2016 4
Croneborg, Riesler raih gelaran Ironman Langkawi 2016
Peserta Sweden, Frederik Croneborg, menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila dinobatkan juara Ironman Langkawi 2016. 

Atlet triatlon Jerman, Diana Riesler, pula mengungguli kategori wanita untuk mencatatkan kejayaan hatrik sejak 2014. 

Tepat jam 7.15 pagi tadi, seramai 1,100 peserta dari 63 negara dilepaskan di Pantai Kok, Langkawi untuk disiplin renang sejauh 3.8 km. 

Walaupun ketinggalan pada awal saingan, Croneborg berjaya menempatkan diri untuk terus bersaing dengan kelompok hadapan. 

Persaingan sengit dilihat di antara Croneborg dan peserta dari Brazil, Thiago Vinhal, sehingga ke garisan penamat. 

Namun, Croneborg ternyata lebih kental untuk menamatkan saingan sebagai juara dengan catatan 8 jam 39 minit 11 saat, diikuti Thiago dengan 8 jam 39 minit 44 saat. 

Tempat ketiga menjadi milik Kaito Tohara dari Jepun dengan catatan 8 jam 43 minit 5 saat. 

"Ini mungkin kemenangan terbesar dan juga yang paling memenatkan dalam karier saya.

"Dalam setiap kejohanan, saya sentiasa memberi aksi terbaik tapi kali ini mungkin pertandingan paling sukar buat saya," kata Croneborg.

Dalam kategori wanita pula, Riesler menepati ramalan untuk mencatatkan kemenangannya yang ketiga berturut-turut dalam saingan Ironman Langkawi apabila jauh meninggalkan peserta lain dengan catatan masa 9 jam 25 minit 33 saat. 

Tempat kedua menjadi milik rakan senegara, Mareen Hufe, dengan catatan 9 jam 35 minit 23 saat, dan tempat ketiga diraih Laura Siddal dengan catatan 9 jam 37 minit 50 saat. 

"Selepas disiplin renang, saya berusaha kuat di peringkat berbasikal dan sejak daripada itu, saya terus memimpin perlumbaan. 

"Saya berasa sangat hebat dan menikmati kejayaan ini seperti dalam mana-mana sukan," katanya. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen