Covid-19: The Hundred guna klausa 'force majeure' batalkan kontrak 

Oleh Shaiful Shamsudin 5 Mei 2020 90
 Covid-19: The Hundred guna klausa 'force majeure' batalkan kontrak 
Kontrak pemain kriket yang terdiri daripada lapan kelab yang terlibat dalam Kejohanan The Hundred ditamatkan serta merta oleh Lembaga Kriket England dan Wales (ECB).

Minggu lalu, ECB mengumumkan akan menunda edisi pertama kejohanan berkonsepkan 100 bola setiap pasukan itu sehingga 2021 berikutan wabak novel koronavirus (Covid-19). 

Sekatan perjalanan global hampir pasti akan menjejaskan kehadiran bintang antarabangsa untuk mengambil bahagian selain peluang terhad kepada penonton untuk hadir tatkala organisasi itu berhasrat menjadikan ia sebagai pelantar bagi menarik minat lebih ramai peminat.

Badan pengelola itu kini cuba mengurangkan jumlah kerugian musim domestik setelah berbincang dengan Persatuan Kriket Profesional (PCA).

"Kami mengesahkan surat penamatan kontrak telah dikeluarkan hari ini buat semua yang terlibat dalam The Hundred," kata ECB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Stats Perform.

"Surat ini adalah dokumen yang diperlukan untuk mengemas kini dan memaklumkan kepada pemain tentang situasi ini susulan pemberitahuan minggu lalu mengenai kejohanan ini yang akan ditunda ke 2021.

"Kami saling bekerjasama dengan PCA berkaitan pilihan buat pemain mengenai penganjuran tahun depan."

Menurut laporan Independent, pemain-pemain sepatutnya menerima 80 peratus daripada baki gaji mereka pada penghujung kejohanan 2020 seperti yang dipersetujui.

Kontrak itu telah dibatalkan melalui klausa 'force majeure' (situasi yang tidak dijangka) seperti yang termaktub dalam peraturan.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen