Penangguhan aktiviti berkumpulan ekoran penularan pandemik Covid-19 di serata dunia ketika ini tidak menghalang hasrat atlet memanah para negara, S. Suresh, untuk meneruskan perancangannya bagi menamatkan zaman bujang, hujung tahun ini.

Bagi atlet berusia 26 tahun itu, ia pasti hari yang dinanti dengan penuh debaran bersama gadis pilihannya.

Suresh memang merancang untuk menamatkan zaman bujangnya tahun ini sejurus tamat beraksi dalam temasya paralimpik Tokyo 2020 yang sepatutnya berlangsung Ogos ini.

Namun, setelah ia ditunda ke tahun depan, dia tiada pilihan selain meneruskan perancangan asalnya untuk berkahwin memandangkan segala persiapan sudah siap sebanyak 70 peratus.

"Tunang saya memang memberikan sokongan. Dia sedar saya akan berada dalam keadaan tertekan tetapi dia menegaskan tidak akan mengganggu sebarang perancangan saya selepas selesaikan urusan perkahwinan. Dia hanya mahu saya fokus dengan aksi di lapangan selepas berkahwin," katanya.

Anak jati Kedah itu juga menganggap tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini sebagai waktu untuk dia berehat memandangkan sebelum ini, dia didapati mengalami kecederaan di bahagian bahu dan masih belum berkesempatan untuk menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN).

Juara dunia memanah para 2018 itu kini mempunyai tempoh 16 bulan untuk bersiap memenangi pingat dalam Sukan Paralimpik Tokyo, tahun depan.

"Bagi saya, ini memberikan kebaikan kerana membolehkan saya menjalani proses pemulihan akibat kecederaan yang dialami sebelum ini," tambahnya.